Pancingan mengunjun atau jigging merupakan teknik khusus sukan memancing bagi memburu ikan pelagik mahupun demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.

 

Ruby Snapper

Satu-satunya spesies idaman penggemar segmen pancingan jigging yang hanya boleh ditemui di perairan Sabah dan Sarawak. Ikan ruby snapper pada awalnya dikenali melalui hasil penangkapan ikan komersial menjadikannya banyak tersedia untuk umum.

Ketika itu kebanyakan pemancing rekreasi tidak biasa dengan spesies ini kerana habitat airnya yang dalam. Walau bagaimana pun ia tidak kekal sedemikian berikut bantuan moden kekili elektrik… dan kini melalui teknik jigging perlahan.

Info Ruby Snapper:

Nama saintifik: Etelis carbunculus.

Nama Inggeris: deepwater red snapper, deepwater snapper, jobfish, queen snapper, red snapper, ruby-colored snapper fish, snapper atau squirrelfish snapper.

Nama Melayu: Kerisi Bali

Spesies marin benthopelagic ini hanya boleh ditemui pada kedalaman 90-400 meter  atau pada kebiasaannya 200 – 350 meter.

Spesies Etelis carbunculus dikatakan mencapai usia matang apabila mencecah 61 cm. Ia mampu mencapai panjang maksimum sehingga 127 cm dan tempoh usia sehingga 32 tahun.

 

JENAHAK aka JENAK

IKLAN

Dalam disiplin jigging, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama. Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak berikutan ia merupakan spesies utama sasaran dalam aktiviti ini.

Info Jenahak:

Nama saintifik: Lutjanus Johnii

Nama Inggeris: Golden Snapper, John’s Snapper

Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah

Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan subtropika.

Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.

 

IKLAN

KERAPU BORON aka TONG GAS

Boleh dikatakan, setiap pengamal slow jigging berhasrat untuk menundukkan kerapu boron atau tong gas ini. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan.

Pasti ramai pecinta jigging perlahan merindui aksi benamannya dalam usaha melarikan diri setelah tersangkut mata jig.

Info Kerapu boron:

Nama saintifik: Epinephelus malabaricus

Nama Inggeris: Malabar Grouper

Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas

IKLAN

Kerapu mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter.

Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.

Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.

 

SIAKAP MERAH aka MAK JANDA

Ia merupakan ikan sisik yang dianggap sebagai ikan trofi jika berjaya mendaratkannya. Dalam disiplin jigging, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.

Info Siakap Merah:

Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus

Nama Inggeris: Mangrove jack

Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong

Ikan kakap atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.

Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.