Setelah gagal dalam misi memburu tenggiri selama dua hari di perairan Kuala Terengganu.

Atau lebih tepat lagi tidak jauh dari perairan Pulau Kapas, kami berlima (Tamizam, Faisal, Shukree, Azri dan penulis) meneruskan cabaran ke perairan Dungun pula.

Lubuk kali ini tidak jauh kira-kira 5 batu nautika dari Pulau Tenggol.

 

Bagi cabaran memburu tenggiri di perairan Dungun ini kami menaiki bot pancing persendirian milik Nazar.

Bot berukuran 30 kaki dan enjin 175 kuasa kuda berkembar yang dipandu mencecah 40 km/j membolehkan kami tiba di lokasi bekas unjam lama sekitar 45 minit sahaja dalam keadaan laut agak berkucah.

 

Setelah agak lama berhanyut sambil mengunjun kepingan jig seberat 40 gram hingga 80 gram di lubuk pertama tanpa sebarang petanda positif, kami bergerak ke tapak unjam lama yang kedua pula.

IKLAN

Namun hasilnya masih kosong. Hanya di lokasi ketiga barulah membuahkan hasil. Aksi pembuka tirai Faizal menyuntik semangat untuk berjigging dengan lebih gigih.

Namun ikan yang didaratkan hanyalah alu-alu bukannya spesies yang kami sasarkan. Selepas itu seorang demi seorang merasai strike namun kesemuanya adalah alu-alu bukannya tenggiri.

Tongkol yang berjaya didaratkan pula tidak cukup sifat setelah sebahagiannya dicukai oleh alu-alu.

 

 

IKLAN

 

“Kalau kacang dah banyak macam ni memang payahlah nak tenggiri nak masuk,” ulas Nazar selaku tekong berdasarkan pengalamannya memancing di perairan tersebut.

 

Menjelang petang angin kian bertiup kencang menambahkan lagi laut berkucah. Kesukaran untuk berhanyut di kawasan lubuk mendorong tekong beralih ke lokasi sedikit terlindung di bahagian belakang pulau.

 

IKLAN

Air berkedalaman 20 hingga 50 kaki menjadi padang permainan kami sementara menanti angin teduh.

Lubuk yang tidak menjanjikan apa-apa tanpa disangka-sangka bertukar menjadi lubuk penawar duka.

Khususnya lubuk berkedalaman 20 kaki dengan dasar berbatu banyak dihuni beberapa spesies kerapu bara.

 

Setelah berseronok melayan pelbagai jenis kerapu dan sebelum senja menjelang, kami kembali lagi ke lokasi pemburuan tenggiri.

Namun tiada sebarang hasil yang berjaya didaratkan. Tenggiri yang dikatakan banyak didaratkan seminggu sebelumnya langsung tidak kelihatan.

 

Dengan beberapa ekor kerapu bara kami bergerak pulang sekaligus menjadi trip penamat di perairan Laut China Selatan berikutan monsun timur laut mula memperlihatkan tanda-tanda kehadirannya.